Pelajar kita di Australia dibelasah penyamun
Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di Hawthorn, Melbourne
dibelasah hingga pengsan sebelum dilarikan dan ditinggalkan di sebuah
rumah kosong dengan kedua-dua tangannya diikat menggunakan
kawat duri dalam kejadian samun berhampiran rumah sewanya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Wan Hana Syafiqah Modin (gambar), 19,
pelajar tahun pertama Sains Kesihatan Sosial
di Swinburne University of Technology (SUT),
dikatakan berjalan berseorangan ke kampusnya apabila
dihampiri seorang lelaki sambil mengacukan senjata tajam dari belakang.
Mangsa dari Taman Setiawangsa di sini, kemudian dipaksa
memasuki sebuah kereta yang dinaiki tiga penjenayah lain, dan
dipukul hingga pengsan.
Difahamkan, penjenayah terbabit meninggalkan Wan Hana Syafiqah
di rumah kosong berkenaan sebelum melarikan diri bersama
wang tunai A$260 (RM826.80) yang dibawa mangsa untuk
membeli buku rujukan di kampusnya. Bagaimanapun, barangan peribadi
mangsa termasuk telefon bimbit tidak diambil.
Mangsa yang sedar tidak lama selepas itu, diselamatkan orang ramai
selepas menemuinya berlari dalam keadaan tangan terikat dan berlumuran
darah berhampiran sebuah kafe tidak jauh dari rumah kosong itu.
Ibunya, Engku Rahilah Engku Mahmud, 52, berkata anak keduanya,
Wan Iylia Raihan Modin, 24, yang turut menuntut di universiti sama,
memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa adik bongsunya itu, malam kelmarin.
"Iylia yang menemani Hana menjalani rawatan di Hospital Royal Melbourne
memberitahu keadaan adiknya lemah dan cedera di kepala akibat hentakan kuat,
selain luka pada tangan dan mempunyai kesan jerut di leher, tetapi keadaannya stabil.
Saya meminta untuk bercakap dengan Hana tetapi yang kedengaran cuma tangisannya.
"Saya diberitahu dia juga masih trauma. Kejadian ini cukup mengejutkan kerana
kedua-dua anak saya itu dijangka pulang ke tanah air pada 17 November ini sempena
cuti semester," katanya ketika dihubungi, semalam.
Rahilah dan suaminya dijangka berlepas ke Melbourne sebelum hujung minggu ini
untuk melawat kedua-dua anak mereka.
Hana yang melanjutkan pengajiannya ke Australia, Disember lalu, dikatakan pelajar
cemerlang dan berada dalam kelompok 10 pelajar terbaik universiti itu berdasarkan
keputusan peperiksaan prakursusnya.
Difahamkan, polis Australia masih menyiasat kes itu dan penjenayah terbabit
dipercayai warga Asia berdasarkan slanga bahasa Inggeris mereka.
Polis juga dikatakan mengadakan sekatan jalan raya di sekitar universiti itu,
termasuk kawasan berhampiran rumah sewa mangsa bagi memburu penjenayah terbabit.
Wisma Putra ketika dihubungi pula memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan
lengkap dari pihak kedutaan, termasuk Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Canberra berhubung kejadian berkenaan.
-----------------------------------------------
ak start blog ni dgn citer ini...
hana ni anak pak cik mydin...
kawan abah...
ksian die......
i hope she get well soon.....