About Me

My photo
Kg.Jawa, Klang, Selangor, Malaysia
SIMPLE, CLUMSY, EMO, ♥FAMILY OH FAMILY♥, ♥FRIENDS♥, ♫SI GILA MUSIK♫, ♥ORANGE+PURPLE♥

Friday, November 13, 2009

continue....

bh-12 nov 09-

Pelajar mangsa samun di Australia alami histeria
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Australia, Wan Hana Syafiqah Modin, 19, yang dipukul, dilarikan dan disamun sebelum ditinggalkan dengan kedua-dua tangannya diikat di sebuah rumah kosong di Melbourne, Isnin lalu menjerit seperti diserang histeria ketika kembali semula ke rumah itu bagi membantu siasatan polis, semalam.

Wan Hana, pelajar tahun pertama Pengajian Sains Kesihatan Sosial di Swinburne University of Technology (SUT) dikatakan bertindak demikian kerana masih trauma dengan kejadian menimpanya, selain suasana rumah itu yang menyeramkan.

Ibunya, Engku Rahilah Engku Mahmud, 52, berkata perkara itu dimaklumkan anak keduanya, Wan Iylia Raihan Modin, 24, yang menghubunginya petang semalam.

“Iylia yang menemani Hana memberitahu adiknya menjerit-jerit seperti diserang histeria sebaik tiba di rumah kosong itu yang dianggap menyeramkan dengan keadaan pagar kayu yang sudah reput dan dinding rumah kotor.

“Laluan ke rumah itu juga melalui bukit bukau dan agak terpencil. Sepanjang berada di rumah itu, Hana berkelakuan sedemikian kerana tidak sangka terperangkap seorang diri di rumah itu ketika ditinggalkan dalam keadaan pengsan oleh empat penjenayah yang melarikannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan kejadian malang menimpa Wan Hana dibelasah hingga pengsan sebelum dilarikan dan ditinggalkan di sebuah rumah kosong itu.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, mangsa diugut menggunakan pisau ketika berjalan berseorangan ke kampus.

Mangsa dari Taman Setiawangsa di sini, kemudian dipaksa memasuki sebuah kereta yang dinaiki beberapa lelaki lain, dan dipukul hingga pengsan.

Penjenayah kemudian meninggalkan Wan Hana di rumah itu sebelum melarikan diri bersama wang tunai A$260 (RM826.80) yang dibawa mangsa untuk membeli buku rujukan.

Engku Rahilah berkata, anak bongsunya itu sudah keluar dari Hospital Royal Melbourne dan diberikan cuti sakit seminggu.

“Saya akan ke sana esok (hari ini) untuk membawa pulang mereka dan jika keadaan mereka teruk saya tidak akan teragak-agak menamatkan pengajian mereka di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Australia, Dr Mohd Nasir Abu Hassan, berkata Wan Hana menunjukkan rumah itu kepada polis selepas dapat mengingati lokasinya.

Katanya, sehingga kini polis belum membuat sebarang tangkapan.

“Siasatan mendapati rumah itu yang hanya terle-

tak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dimiliki seorang warga emas kulit putih. Mangsa ditinggalkan

di belakang rumah itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dr Mohd Nasir berkata, Wan Hana menggunakan mulut untuk membuka ikatan tangannya selepas sedar dari pengsan kira-kira jam 1.15 petang, sebelum keluar melalui celah pagar berduri rumah berkenaan.

“Walaupun telefonnya dipecahkan, mangsa masih dapat menggunakannya untuk menghubungi rakan yang kemudian datang menyelamatkannya,” katanya.

Dr Mohd Nasir berkata, pihaknya menghantar Pembantu Warden Dewan Malaysia Melbourne, Haznizul A Shukery melawat mangsa dan meminta penuntut Malaysia lain tidak bimbang kerana kejadian itu yang disifatkan terpencil.

Mengikut rekod MSD, 21,134 rakyat Malaysia sedang menuntut di Australia.


bh-13 nov 09-

Pelajar disamun tangguh pengajian
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bharian.com.my

Wan Hanna trauma kejadian di Melbourne

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Australia, Wan Hanna Syafiqah Modin, 19, yang dipukul, dilarikan dan disamun di Melbourne Isnin lalu, memutuskan untuk menangguhkan pengajiannya dan pulang ke negara ini seberapa segera kerana trauma dengan kejadian itu.

Kakaknya, Wan Iylia Raihan Modin, 24, berkata beliau sudah mengisi borang penangguhan semester pengajian bagi pihak adiknya di Swinburne University of Technology (SUT), semalam.

Wan Hanna Syafiqah adalah pelajar Tahun Pertama Pengajian Sains Kesihatan Sosial universiti itu.

"Penangguhan itu atas permintaan ibu yang mahu membawa adik pulang ke Malaysia kerana kejadian itu.

"Pegawai Penyelaras Kursus SUT juga menasihatkan adik berbuat demikian, jadi adik yang masih lemah dan takut untuk keluar rumah bersetuju.

"Oleh itu, adik tidak akan menduduki peperiksaan yang sepatutnya didudukinya Disember ini," katanya ketika dihubungi di rumah mereka di Hawthorne, semalam.

Dalam kejadian Isnin lalu, Wan Hanna Syafiqah diugut menggunakan pisau oleh penjenayah ketika berjalan berseorangan ke kampus.

Mangsa dari Taman Setiawangsa di sini, kemudian dipaksa memasuki sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki lain, dan dipukul hingga pengsan.

Mangsa kemudian ditinggalkan dalam keadaan pengsan dengan kedua-dua tangannya diikat di belakang sebuah rumah sebelum suspek melarikan diri bersama wang tunai A$260 (RM826.80) yang dibawa mangsa untuk membeli buku rujukan.

Wan Iylia Raihan berkata, ibu mereka, Ungku Rahilah Engku Mahmood dijangka tiba malam ini, namun adiknya belum boleh pulang kerana masih diperlukan bagi membantu siasatan polis.

"Polis maklumkan adik masih diperlukan bagi membantu siasatan dan mereka akan memaklumkan perkembangan kes setiap hari kepada kami.

"Sebenarnya kes ini mengejutkan banyak pihak termasuk polis kerana ia jarang sekali berlaku di sini, lebih-lebih lagi pada siang hari," katanya.

Ditanya sama ada mereka akan berpindah rumah, Wan Iylia Raihan berkata, perkara itu belum diputuskan kerana akan berbincang lanjut dengan ibu termasuk tarikh sesuai membawa adik pulang.

Katanya, pihak universiti semalam turut menghantar pegawai kaunselornya ke rumah mereka dalam usaha membantu memulihkan semangat adiknya.

"Ramai juga rakan menziarahi kami bagi memberi semangat dan tanda prihatin dan kami berterima kasih kepada mereka," katanya.

No comments: